Warga emas belum terima bantuan Perkeso - Utusan Malaysia

Warga emas belum terima bantuan Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA 17 Jun – Kemalangan akibat terjatuh dari lori ketika memindahkan barang 12 tahun lalu menjadi detik hitam yang mengubah kehidupan Zolkifli Razak, 58, dari Kampung Batu Papan di sini.

ZOLKIFLI RAZAK menunjukkan kaki yang cedera dan surat permohonan bantuan Perkeso di Kampung Batu Papan, Bera, Pahang, baru-baru ini.

Kejadian yang menyebabkan Zolkifli patah kedua-dua belah kaki itu bukan sahaja mengakibatkan dia terpaksa menahan sakit sehingga ke hari ini malah hilang punca pendapatan selepas tidak dapat melakukan kerja-kerja berat.

Lebih malang, dia kini disahkan menghidap penyakit jantung dan menghadapi masalah kewangan khususnya untuk menampung rawatan susulan.

Zolkifli berkata, pada masa ini dia hanya bergantung kepada pendapatan daripada berkerja sendiri dan mengharapkan bantuan Per­tubuhan Keselematan Sosial (Per­keso) yang telah tertangguh sejak 12 tahun lepas.

“Saya tidak tahu mengapa tidak mendapat bantuan sehingga kini daripada Perkeso sedangkan semasa bekerja, saya mendaftar melalui majikan.

“Orang lain yang sakit dan kemalangan saya lihat tiada masalah mendapatkan bantuan. Saya mera­yu kepada pihak berkenaan supaya dapat melihat kembali permohonan saya ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung tersebut baru-baru ini.

Menurut Zolkifli, dia tidak dapat mela­kukan kerja-kerja yang berat akibat masalah di bahagian kakinya dan perlu berulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh bagi mendapatkan rawatan berterusan.

Ketika menceritakan kemalangan yang menimpanya, Zolkifli berkata, detik hitam tersebut berlaku ketika dia sedang memindahkan barang dari lori ke dalam sebuah gudang di Kuala Lipis.

“Semasa mengangkat barang dan me­ngundur ke belakang, saya terjatuh menyebabkan kedua-dua belah kaki saya patah. Sehingga sekarang masih ada besi yang dimasukkan ke dalam kaki saya.

“Jadi, saya tidak dapat membuat kerja berat dan kesakitan terpaksa saya tanggung sepanjang hayat,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN