Wanita Saudi mula memandu - Utusan Malaysia

Wanita Saudi mula memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH – Wanita Arab Saudi meraikan kebenaran memandu buat pertama kali sejak beberapa dekad lalu semalam selepas kerajaan negara itu menarik balik undang-undang larangan yang dijangka membawa era baharu mobiliti sosial.

Ia merupakan sebahagian pendekatan yang dilakukan Putera Mahkota Mohamed bin Salman untuk memodenkan negara yang kaya dengan sumber minyak mentah tersebut selari dengan desakan kumpulan aktivis wanita yang telah lama menentang keras larangan itu.

Wanita-wanita di Riyadh dan beberapa bandar raya lain kelihatan mula memenuhi jalan raya bermandikan cahaya lampu selepas larangan tersebut ditarik balik dengan iringan muzik kuat berkuat kuasa tengah malam kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih menarik, pengeluar kereta terkenal, Renault turut memberi peluang kepada seorang wanita Arab Saudi, Aseel Al-Hamad untuk memandu kereta Formula Satu sama seperti yang dipandu Kimi Raikkonen sebagai simbolik meraikan penarikan undang-undang tersebut di Le Castellet, Perancis.

“Saya tahu hari ini akan datang. Namun ia pantas. Secara tiba-tiba,” kata hos rancangan bual bicara dan penulis, Samar Almogren sebaik sahaja memandu di ibu negara itu dan menambah dia berasa bebas se­perti seekor burung.

Penyampai televisyen, Sabika al-Dosari pula berkata, pengakhi­ran larangan tersebut merupakan momen bersejarah kepada semua wanita Arab Saudi sebelum memandu sebuah kereta sedan menuju ke sempadan Bahrain.

Penarikan semula larangan tersebut yang sebelum ini dilihat sebagai satu simbol penindasan, dijangka memberi perubahan kepada ramai wanita dengan membebaskan mereka daripada bergantung kepada pemandu peribadi atau saudara lelaki.

Kegembiraan bercampur dengan perasaan tidak percaya apabila golongan wanita boleh memandu di negara itu turut memenuhi media sosial dengan gambar dan video mereka memandu kereta dengan kehadiran ramai polis di bandar-bandar besar.

“Ia satu pencapaian yang bagus,” kata bilionair Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal selepas anak perempuannya memandu sebuah kenderaan utiliti sukan milik keluarganya sambil cucu perempuannya bertepuk tangan di tempat duduk belakang.

“Kini wanita mendapat kebebasan mereka,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di platform Twitter.

Lebih tiga juta wanita Arab Saudi akan menerima lesen dan mula memandu secara aktif menjelang tahun 2020, menurut firma konsultan PricewaterhouseCoopers. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini