NEBRASKA 18 Jun – Sejak bertahun-tahun, Kendra Jackson tidak cukup tidur, sering bersin dan sakit kepala akibat penyakit hidung berhingus yang dihidapinya, namun doktor mengesahkan dia hanya mengalami alahan yang bermusim.
Walau bagaimanapun simptom penyakit itu tidak pernah hilang malah semakin teruk walaupun dia telah mengambil pelbagai jenis ubat.
Wanita berusia 52 tahun dari Omaha itu berkata, hingus yang keluar daripada hidungnya seperti ‘air terjun’ dan kadang kala masuk ke dalam kerongkongnya.
Punca penyakit yang dihidapi akhirnya diketahui selepas doktor pakar di Hospital Nebraska Medicine mengesahkan penyakit itu sebenarnya adalah kebocoran cecair serebrospina (CSF).
Keadaan itu menyebabkan cecair di sekeliling otak keluar melalui sebuah lubang atau koyakan yang terdapat pada tengkorak dan mengalir ke dalam telinga dan hidung, lapor Johns Hopkins Medicine yang dipetik portal Washington Post.
Doktor pakar di hospital berkenaan memberitahu Jackson bahawa dia telah kehilangan kira-kira 236.5 mililiter cecair setiap hari melalui hidungnya.
Wanita itu telah menjalani pembedahan untuk memperbaiki lubang kecil antara tengkorak dan hidungnya yang menyebabkan kebocoran cecair.
Seorang jurucakap hospital itu memberitahu Washington Post, Jackson kini semakin pulih.
Jackson berkata, dia pernah terlibat dalam kemalangan kereta pada 2013 menyebabkan mukanya terhentak papan pemuka kereta.
Beberapa tahun selepas itu dia mengalami masalah sakit kepala dan hidung berhingus yang teruk.
Kebocoran CSF jarang berlaku dan hanya lima daripada 100,000 orang yang disahkan menghidap penyakit itu setiap tahun.










