SHAH ALAM 28 Jun – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan parti itu menetapkan kadar bayaran atau yuran kepada mana-mana pemimpin atau ahlinya yang ingin bertanding sama ada di peringkat pusat mahupun cabang.
Jelas Wan Azizah, penetapan kadar yuran pemilihan jawatan parti sehingga mencecah puluhan ribu ringgit itu telah dipersetujui secara rasmi dalam mesyuarat PKR sebelum ini.
Beliau bahkan mempertahankan langkah tersebut sebagai wajar bagi menampung kos walaupun dibantah serta dikecam pelbagai pihak termasuk ahli parti itu sendiri.
“Itu (syarat yuran pemilihan jawatan PKR) memang ada dalam pekeliling kita. Parti telah bermesyuarat dan kita tidak ada agensi kerajaan untuk menanggung (kos) dan ini adalah urusan parti.
“Syarat ini dibuat oleh parti untuk menampung kos pemilihan nanti,” katanya di sini hari ini.
Sejak kelmarin tersebar dalam media sosial mengenai peraturan pemilihan PKR yang menetapkan mana-mana individu yang ingin bertanding dalam jawatankuasa kepimpinan di peringkat pusat dan cabang dikenakan yuran mengikut kadar tertentu.
Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, yuran pemilihan difahamkan masing-masing sebanyak RM25,000 dan RM20,000 manakala bagi jawatan Naib Presiden RM10,000 dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat RM5,000.
Sementara itu, di peringkat sayap pusat, jawatan Ketua dikenakan yuran RM10,000 manakala Timbalan Ketua (RM7,000), Naib Ketua (RM5,000) manakala Ahli Majlis Pimpinan sebanyak RM3,000.
Jumlah tersebut tidak termasuk jawatan pemilihan di peringkat cabang yang didakwa dikenakan yuran antara RM200 hingga RM500.
Dalam perkembangan berasingan, Wan Azizah ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan menegaskan, dasar bahasa kebangsaan akan terus dipertahankan.
Walau bagaimanapun, jelasnya, kerajaan tidak menghalang terjemahan dilakukan bagi membolehkan kaum lain boleh memahaminya dengan jelas.
“Kita tengok wayang pun ada terjemahan sari kata,” ujarnya.










