TEMERLOH – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas untuk membela nasib rakyat.
Tengku Abdullah yakin semua wakil rakyat yang dipilih mampu menggalas tugas menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum tanpa mengira parti.
“Setelah selesai PRU, komposisi mereka yang dilantik di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang cukup menarik kerana semua pihak akan diwakili parti baik kerajaan atau pembangkang.
“Setelah dapat mengenali setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah bersua muka, saya dapat rasakan semangat nak bekerjasama, semangat untuk membantu rakyat tetap ada bagi semua wakil rakyat tanpa mengira parti mana sekalipun.
“Saya berharap dan berdoa di bulan Ramadan ini supaya kita dapat ikhlas, amanah dan bertanggungjawab supaya apa yang penting kita dapat membela nasib rakyat di Pahang tanpa mengira kaum mana sekalipun sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli,” titah baginda. – Bernama









