KANGAR 7 Jun – Kesemua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengulangi pendirian untuk tetap menyokong Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar seperti mana diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
![]() |
|
Teh Chai Ann
|
Perkara tersebut ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Teh Chai Ann bagi menjawab kenyataan Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang memaklumkan akan membawa isu pelantikan Azlan itu ke mahkamah.
Chai Ann berkata, isu pelantikan Menteri Besar itu dianggap sudah selesai selepas semua wakil rakyat telah menyatakan sokongan terhadap Azlan.
“Saya juga hairan kenapa beliau (Zahidi) kata tidak selesai. Fokus sekarang adalah pada rakyat dan perkara-perkara seperti ini perlu dielakkan,” katanya di sini hari ini.
Zahidi sebagai mana dipetik daripada laporan portal Malaysiakini hari ini berkeras untuk membawa isu pelantikan Azlan ke mahkamah dengan alasan pelantikan ADUN Bintong itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri iaitu di bawah fasal 39 (6) yang menyatakan Menteri Besar harus meletakkan jawatan jika tidak mendapat sokongan.
Dalam masa sama, Zahidi juga menyifatkan isu tersebut masih belum selesai dan menganggap kenyataan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berhubung perkara tersebut sebelum ini hanya pandangan peribadi yang tidak mewakili semua wakil rakyat.
Asmaiza sebelum ini dilaporkan berkata, kesemua ADUN BN telah membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.
Mengulas lanjut, Chai Ann berkata, kemelut yang sudah selesai ini diharap tidak berpanjangan lagi.
“Cukup-cukuplah, sekarang masa bekerja untuk rakyat yang telah memberikan amanah dan tanggungjawab kepada kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE












