SERIAN – Wabak rabies meragut nyawa ke-10 selepas seorang pesakit perempuan berusia 21 tahun dari Kampung Koran Bari di sini meninggal dunia pukul 5.01 pagi kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, mangsa mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan sendiri pada lengan kanan ketika cuba memandikan haiwan itu pada 20 April lalu.
Menurutnya, mangsa mendapatkan rawatan luka antitetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan dinasihatkan pergi mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing, Hospital Serian.
“Bagaimanapun mangsa tidak pergi ke klinik tersebut sehinggalah pada 20 Mei, dia mendapatkan rawatan kerana sakit dan lemah pada bahu kanan selama empat hari di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Keadaan mangsa menjadi semakin teruk apabila mula menunjukkan simptom halusinasi, demam dan hilang refleks pada kedua-dua tangannya,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, siasatan yang dijalankan mendapati, anjing peliharaan wanita itu merupakan haiwan liar yang diambil dan dipelihara bapa mangsa tiga minggu sebelum kejadian.
Ujarnya, anjing tersebut juga didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi antirabies.
“Sejak pengisytiharan wabak rabies di sini pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies melibatkan manusia seramai 11 orang yang menyaksikan 10 daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih di rawat.
“Sehingga hari ini (semalam), sebanyak 31 kawasan di negeri ini disahkan positif rabies,” ujarnya.










