Vincent Tan lupus saham T7 - Utusan Malaysia

Vincent Tan lupus saham T7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jun – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun mengambil tindakan drastik melupuskan keseluruhan saham beliau dalam T7 Global Bhd. bagi menamatkan sebarang kontroversi membabitkan projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Media melaporkan selepas Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Vincent Tan muncul sebagai pemegang saham utama T7 Global dengan mengambil alih 22.2 juta saham atau 5.29 peratus kepen­tingan.

Dalam kenyataan media hari ini, Vincent Tan berkata, langkah beliau membeli saham dalam T7 Global itu tidak mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan pembinaan projek ECRL.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau juga menyifatkan laporan sedemikian sebagai berniat jahat bertujuan mengaitkan beliau dengan amalan kronisme dalam pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya membeli kepentingan dalam T7 Global kerana saya adalah kenalan kepada pemegang saham utama syarikat itu dan yang lebih penting sebagai pelaburan jangka panjang dalam industri minyak dan gas (O&G) kerana T7 Global berada di kedudukan yang baik dalam sektor berkenaan.

“Saya tidak mengetahui bahawa T7 Global merupakan satu daripada kontraktor untuk projek ECRL ketika saya membeli saham syarikat itu,” jelas beliau.

Pada 15 Mei lalu, Vincent Tan mengambil alih sebanyak 21 juta saham T7 Global melalui transaksi perniagaan langsung atau 5.03 peratus pegangan.

Pada 21 Mei pula, beliau mendapatkan tambahan sebanyak 1.2 juta saham dalam pasaran terbuka, menjadikan pegangannya meningkat kepada 22.2 juta saham atau 5.29 peratus kepen­tingan.

Pada hari sama, Lembaga Tabung Haji telah melupuskan satu juta saham dalam T7 Global sekali gus tidak lagi menjadi pemegang saham utama.

Justeru, pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat tersebut adalah Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Tan Kean Soon dengan kepen­tingan sebanyak 11.28 peratus.

Vincent Tan berkata, Perdana Menteri telah menafikan dakwaan kerajaan tidak membatalkan projek ECRL bukan kerana ‘rakan’ beliau (Vincent Tan) mempunyai kepentingan dalam projek itu.

Malah katanya, Menteri Kewangan telah menjelaskan ECRL akan diteruskan kerana sejumlah RM20 bilion telah dibayar, meskipun akan menjalani proses rundingan semula bagi mengurangkan kos.

“Walaupun dengan penjelasan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu, tuduhan ti­dak berasas itu nampaknya masih berlegar di dalam berita dan media sosial,” katanya.

Saham T7 Global ditutup rendah, menurun sebanyak 0.5 sen kepada 49.5 sen berbanding semalam apabila melonjak tinggi sebanyak lapan sen kepada 50.5 sen.

T7 Global adalah nama baharu bagi Tanjung Offshore Bhd. yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2017 selaras dengan penjenamaan semula syarikat yang bertujuan mempelbagaikan perniagaan teras kumpulan dalam industri O&G.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini