ALOR SETAR 6 Jun – Satu lagi sindiket dadah lumpuh dengan tertangkapnya lapan individu termasuk tiga warga asing dalam lima serbuan di sekitar sini dan Kuala Kedah awal pagi semalam.
Video oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
Dalam serbuan yang bermula pada pukul 2.45 pagi hingga 4.10 pagi itu, pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 9.99 kilogram, syabu 5.94 kilogram, 19,400 biji pil kuda, heroin base 1.48 kilogram dan ephederine 10.8 kilogram yang keseluruhannya bernilai RM784,590 dirampas.
Turut dirampas ialah cecair kimia, wang tunai berjumlah RM1,880, barang kemas bernilai kira-kira RM51,000 serta 10 buah kenderaan antaranya BMW F10, Subaru V9, Lexus, Toyota Camry dan sebuah motosikal Harley Davidson yang bernilai kira-kira RM620,000
Ketua Polis negeri, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan, seorang lelaki Singapura, seorang wanita warganegara China dan seorang wanita Laos berusia antara 27 hingga 47 tahun.
Menurutnya, dalang utama sindiket berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang ditahan bersama lelaki warganegara Singapura berusia 57 tahun dalam serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah sewa di Taman Gunung, dekat sini.
“Dia pernah ditangkap tahun lalu atas kesalahan dadah manakala lelaki Singapura itu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dipercayai bertanggungjawab menjadi ‘tukang masak’ dadah-dadah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Operasi tersebut dijalankan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selain turut melibatkan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).
Tambah Zainal Abidin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dengan kesemua individu berkenaan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Jun depan.











