[VIDEO] Penjara 16 tahun,10 sebatan rogol anak tiri - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penjara 16 tahun,10 sebatan rogol anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Jun – Seorang penoreh getah dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol anak tirinya pada bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 49 tahun selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kuala Krai dekat sini pada pukul 8.30 malam, 27 Mei lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lapan tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias yang memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana sepatutunya tertuduh melindungi mangsa namun mengambil kesempatan dengan meragut maruah mangsa.

“Akibatnya, perkara tersebut meninggalkan titik hitam dalam kehidupan mangsa,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara tertuduh di Penjara Pengkalan Chepa berkuat kuasa daripada tarikh tangkap iaitu 17 Jun lalu.

Difahamkan, mangsa sebelum ini sering dicabul oleh tertuduh. Akibat tidak tahan dengan perlakuan kejam bapa tirinya , mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada kakak angkatnya sebelum mereka melaporkan kepada pihak polis.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN