PUTRAJAYA 1 Jun- Bermula tanpa sebarang pengetahuan dalam bidang nuklear tidak menjadi penghalang kepada tiga pelajar Malaysia mencatat sejarah menjuarai Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan.
Dalam pertandingan yang berlangsung pada 28 hingga 31 Mei itu, ketiga-tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut,Terengganu berjaya menewaskan 520 peserta lain daripada pelbagai negara melalui projek 100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan.
Menurut salah seorang pelajar, Safyyah Muhammad Nasir, 16, projek 100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana melibatkan penggunaan tenaga nuklear dalam kehidupan seharian dan projek itu berlainan dengan program peserta negara lain.
“Projek yang kami ketengahkan ini ada kelainannya sehingga menarik perhatian juri di pertandingan itu. Melalui projek ini kita mendedahkan penggunaan tenaga nuklear dalam kehidupan seharian dan bukannya digunakan untuk peperangan semata-mata.
“Ramai yang menyatakan minat dengan projek ini, sebelum membawa projek ini ke pertandingan itu kami juga ada membuat kajian lapangan tentang penggunaan tenaga nuklear di Besut, Terengganu dan sambutannya amat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, ketibaan mereka disambut oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad.
Safyyah berkata, dia dan dua lagi rakannya bermula tanpa sebarang pengetahuan dalam bidang nuklear dan mereka belajar sedikit demi sedikit termasuk mendapat pendedahan melalui program yang dianjurkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Agensi Nuklear Malaysia. – UTUSAN ONLINE










