SEBUNGKUS nasi lemak berlauk udang sebesar ibu jari biasanya dijual antara RM3.50 hingga RM4. Namun percaya atau tidak, pada setiap Khamis dan Jumaat sepanjang Ramadan lalu, ia boleh didapati secara percuma di sebuah gerai di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
Video Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN
Pada mulanya ramai yang ragu-ragu meskipun sudah dipasang papan tanda tertera perkataan Nasi Lemak Percuma. Bagaimanapun, lama kelamaan keadaan itu menjadi biasa hinggakan sebelum gerai terbabit dibuka mulai 5.30 petang, orang ramai sudah pun beratur menunggu giliran.
Pengusaha gerai itu, Shahmil Amal Mohd. Mukhtar, 46, berkata, idea berbuat demikian tercetus selepas dia melihat banyak pihak mengedarkan bubur lambuk percuma semasa Ramadan.
“Setiap kali bulan puasa, ramai yang edar bubur lambuk percuma. Saya sendiri teringin nak buat benda sama tapi saya tak pandai buat bubur lambuk.
“Disebabkan saya ada pengalaman buat nasi lemak, maka saya gantikannya dengan bubur lambuk. Lagi pun setahu saya belum ada lagi orang berbuat demikian,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Kapten Max kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurutnya yang merupakan seorang juruterbang pesawat peribadi, dia menyediakan antara 350 hingga 380 bungkus sehari dan kebiasaan kesemuanya habis diedarkan dalam tempoh sejam.
Mengenai keistimewaan nasi lemak itu, jelasnya, sambal yang dihasilkan merupakan resipi turun temurun ibunya yang berasal dari Air Itam, Pulau Pinang.
“Nasi pula saya ambil resipi ibu mertua dari Kajang, Selangor,” ujarnya yang turut dibantu dalam urusan penyediaan dan pengagihan nasi lemak oleh isteri, anak-anak dan pengasuhnya.
Ditanya mengenai perancangan pada masa depan, Shahmil Amal memberitahu, dia berharap dapat memperluaskan aktiviti berkenaan di lokasi-lokasi lain.
“Mungkin akan datang pada bulan Ramadan saya dapat dirikan tiga, empat gerai lagi nasi lemak percuma di Shah Alam,” jelasnya.











