SUBANG JAYA 28 Jun – Sebanyak 69 buah premis makanan di Pusat Komersial SS15 di sini diserbu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) selepas gagal mempamer lesen perniagaan sah di premis masing-masing sewaktu pemeriksaan berjalan hari ini.
Video oleh AMIRUL AIMAN ANUAR
Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali berkata, kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan kepada pemilik yang masih menjalankan operasi perniagaan secara haram meskipun gagal memperbaharui lesen mereka selepas tempoh sah tamat.
Katanya, operasi itu disertai tiga jabatan MPSJ iaitu Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan yang turut memeriksa tahap kebersihanan kira-kira 200 premis lain bagi menilai syarat-syarat lesen yang wajib dipatuhi pemilik premis.
“Sebanyak 50 kompaun dikeluarkan MPSJ atas pelbagai kesalahan setakat pukul 4.30 petang dalam pemeriksaan hari ini termasuk arahan tutup kepada sebuah restoran yang tiada lesen serta kotor selepas penemuan tikus dan lipas di tempat memasak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Pemeriksaan dan Penutupan Premis Makanan MPSJ 2018 yang turut disertai oleh 30 anggota penguatkuasa dan inspektor kesihatan. – UTUSAN ONLINE











