KUALA LUMPUR 25 Jun – Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor nyaris dilanggar sebuah kereta yang dipandu laju ketika membantu mangsa kemalangan di Kilometer 448, Lebuh Raya Utara arah utara semalam.
Dalam kejadian pukul 11.36 malam, kereta terbabit gagal mengelak lalu merempuh dua kenderaan yang sebelum itu terbabit kemalangan berdekatan susur keluar Plaza Tol Rawang.
Video yang berdurasi dua minit 35 saat yang tular dalam media sosial Facebook itu dirakamkan anggota APM, Suzaini Sulaiman yang turut terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.
Menurut sumber, ketika itu beberapa anggota APM sedang dalam tugasan Op Selamat 13 dan baru selesai memberi bantuan kepada mangsa kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta di Kilometer sama arah Selatan.
“Selesai tugasan dan ketika dalam perjalanan pulang ke markas, pasukan itu terserempak dengan satu lagi kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di lokasi berkenaan.
“Semasa menunggu bantuan lain tiba, sebuah kereta yang dipandu laju ke arah Utara dilihat menekan brek secara mengejut sebelum merempuh sebuah kereta yang terlibat kemalangan,” katanya di sini hari ini.
Jelas sumber tersebut, susulan pelanggaran itu kereta berkenaan berpusing ke tengah jalan.
“Pemandunya kereta yang dipandu laju itu dipecayai cedera ringan di bahagian dahi dan tangan serta dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










