PUTRAJAYA 25 Jun – Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Video oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Perintah reman sehingga 1 Julai ini dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat suspek berusia 42 tahun itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tangkapan berkenaan merupakan kali pertama melibatkan kes 1MDB.
Terdahulu, lelaki yang bergelar Datuk tersebut tiba di sini pada pukul 9.15 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian lokap SPRM.
Menurut jurucakap SPRM, suspek telah ditahan pada pukul 9.45 malam tadi di ibu pejabat SPRM selepas hadir memberikan keterangan.
Ujar beliau lagi, lelaki berkenaan merupakan pengarah kepada sebuah syarikat yang dipercayai menerima transaksi wang daripada 1MDB.
“Suspek juga merupakan ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Khazanah(Nasional Berhad), namun dia telah meletakkan jawatan pada 5 Jun lalu.
“Dia telah berkhidmat dengan Najib sejak 2009 yang bertanggungjawab berhubung soal ekonomi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas pegawai khas kepada Najib dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan 1MDB.
Menurut sumber, lelaki berusia 44 tahun dan bergelar Datuk itu diminta hadir ke SPRM pada semalam dan pukul 2 petang hari ini.
“Dia hanya diminta untuk hadir bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan dan tidak direman,” katanya.










