KUALA LUMPUR 28 Jun – Beregu lelaki No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas mengetepikan cabaran Zhang Nan-Liu Cheng dari China, hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum meraih kemenangan 21-14, 21-23, 21-17.
Kemenangan itu menyaksikan mereka akan berdepan cabaran pilihan keenam dari Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura yang menundukkan juara dunia dua kali dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-14, 21-16.
V Shem-Wee Kiong akan berdepan Sonoda-Kamura buat kali kesembilan dengan pasangan Jepun itu memiliki rekod lima kemenangan ke atas pasangan negara itu.
Kali terakhir mereka bertemu ialah dalam Kejohanan Asia di Wuhan, April lalu yang berkesudahan V Shem-Wee Kiong tewas 18-21, 17-21. – UTUSAN ONLINE











