KUALA LUMPUR 25 Jun – Keutamaan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai medium untuk kenyataan rasmi kerajaan perlu diberi penekanan dan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penyelesaian kepada isu ini harus berbalik kepada undang-undang seperti yang telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia.
“Menurut Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan, ‘Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi’.
“Ini bermakna, ia telah pun dipersetujui bahawa Bahasa Malaysia perlu digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan, hari ini.
Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu hendaklah dijadikan Bahasa Kebangsaan.
Beliau turut menambah, keperluan untuk menyelaras penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi kerajaan ini penting untuk memastikan tidak ada kekeliruan daripada pihak awam berkenaan apa-apa perkara yang diterbitkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.
“Saya percaya tidak ada sebarang masalah untuk menterjemah mana-mana kenyataan rasmi Kerajaan Malaysia.
“Namun, keutamaan perlu ditekankan kepada penggunaan Bahasa Kebangsaan untuk hebahan media buat kali pertama. Kekeliruan dan salah faham dari orang ramai dapat dielakkan dengan prosedur sebegini,” tambah Syed Saddiq. – UTUSAN ONLINE











