AKSI Uruguay pada perlawanan terakhir Kumpulan A nyata terlalu hebat buat Rusia apabila pasukan jolokan La Celeste itu berjaya menewaskan tuan rumah 3-0, sekali gus mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan di Arena Cosmos semalam.
Negara dari Amerika Selatan itu tidak menunggu lama untuk merobek gawang Rusia apabila penyerangnya, Luis Suarez berjaya menyempurnakan sepakan percuma yang cantik dengan menewaskan penjaga gol, Igor Akinfeev seawal minit ke-10 permainan.
Keyakinan Uruguay semakin menjulang apabila memperoleh gol kedua hasil jaringan sendiri pemain sayap Rusia, Denis Cheryshev yang tertampan percubaan Diego Laxalt (m-23) sebelum Edinson Cavani melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-90.
Terdahulu, percubaan Rusia untuk melakukan kebangkitan semakin sukar apabila beraksi dengan 10 orang selepas pemain pertahanan kanan, Igor Smolnikov memperoleh dua kad kuning dan diarahkan keluar padang pada minit ke-36. Meskipun tewas, Rusia masih tetap melangkah ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Arab Saudi menamatkan aksi terakhir dengan meraih kemenangan 2-1 ke atas Mesir di Arena Volgograd.
Pada aksi tersebut, penyerang Mesir, Mohamed Salah terlebih dulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-22
Pemain tengah Arab Saudi, Salman Al-Faraj menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 sebelum skuad dikenali The Green Falcons itu meraih gol kemenangan menerusi Salem Al-Dawsari (m-94).











