SESIAPAPUN pun tak akan percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.
Tetapi ‘sejarah’ UMNO jugalah yang merencanakannya. Beliau menjadi Perdana Menteri pertama kali pada 1981, melalui UMNO yang ditunjanginya. Dan sekali lagi pada 10 Mei 2018, setelah 15 tahun meletak jawatan pada 2003, dengan melanggar UMNO yang menunjangi Barisan Nasional.
Sejarah jatuh bangun pemimpin dalam UMNO menarik perhatian sesiapa sahaja. Ini sehinggakan berlaku pemilihan UMNO pada hujung bulan ini yang menyaksikan perebutan jawatan Presiden khususnya pun turut ‘mencuri’ tumpuan Dr. Mahathir. Kata negarawan ini beberapa minggu lepas, sepatutnya Khairy Jamaluddin tidak bertanding Naib Presiden tetapi Presiden UMNO.
Waktu itu Khairy atau panggilan glamournya KJ, berseloroh mengatakan kenyataan Dr. Mahathir suatu sindiran, tetapi rupa-rupanya diangkat pemimpin muda ini menjadi realiti Ahad lalu.
Bahkan bukan sahaja Dr. Mahathir, yang lain dari Pakatan Harapan pun ‘tumpang semangkuk’. Dari Syed Saddiq Syed Abdul menjangkit ke A. Kadir Jasin, kemudian ke Lim Kit Siang dan yang lainnya pula.
Hakikatnya, UMNO penuh warna-warni. Kepemimpinannya sentiasa mencuri perhatian sejak dulu lagi, apatah lagi pemilihan yang mendatang ini, bagai demam Piala Dunia yang melanda sekarang.
Tengku Razaleigh misalannya. Berusia 12 tahun lebih muda berbanding Dr. Mahathir, 92, dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim, 70. Namun begitu, Ku Li adalah pemimpin UMNO yang lebih kanan berbanding Dr. Mahathir semasa di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Beliau terlebih dahulu dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.
Sewaktu Tun Hussein Onn mengambil-alih teraju pimpinan parti dan negara setelah Tun Razak meninggal dunia secara mengejut di London pada 1976, beliau telah diminta oleh Hussein untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, Hussein bercadang melantik Tun Ghazali Shafie (King Ghaz) sebagai timbalan beliau. Namun disebabkan Ghazali bukanlah salah seorang daripada Naib Presiden UMNO, maka tiga Naib Presiden telah meminta Hussein membatalkan niat itu dan meminta agar senioriti Naib-Naib Presiden UMNO dihormati.
Konsensus Hussein dan tiga Naib Presiden itu kemudiannya sepakat agar Tun Ghafar Baba dipilih memandangkan kedudukannya sebagai Naib Presiden terkanan.
Namun, pada waktu pagi sebelum pengumuman jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dibuat, Ku Li sekali lagi dipanggil oleh Hussein. Hussein mahu menukar keputusannya buat kali kedua. Ia suatu keputusan yang mengejutkan. Lebih memeranjatkan apabila Hussein bercadang untuk mengumumkan Ku Li sebagai pengganti.
Ku Li, dengan sifat rendah dirinya membantah cadangan itu. Beliau yang baru berusia 39 tahun mencadangkan agar pemimpin yang lebih berpengalaman dan dewasa daripadanya dipilih. Oleh itu, beliau mencadangkan Dr. Mahathir. Pada masa itu, Dr. Mahathir masih lagi kawannya yang agak akrab. Maka, akhirnya Dr. Mahathir dipilih sebagai TPM manakala Ku Li telah dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Pada hujung pentadbiran Hussein, sekali lagi Ku Li dipanggil untuk suatu cadangan yang mengejutkan. Hussein bercadang untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan dan mahu Ku Li menggantikannya. Sekali lagi Ku Li tidak bersetuju. Walaupun tiada peruntukan dalam perlembagaan bahawa TPM secara automatik menggantikan PM apabila berlaku kekosongan, namun dari sudut senioriti sebagai TPM, maka adalah wajar jika Hussein mempertimbangkan Dr. Mahathir sebagai penggantinya. Tambahan pula, Ku Li merasakan bahawa masanya sebagai PM akan tiba jua memandangkan umurnya yang jauh lebih muda berbanding Dr. Mahathir.
Disebabkan Ku Li bertegas untuk tidak menerima tawaran itu, maka akhirnya Hussein akur untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dr. Mahathir.
Demikiankah juga dengan kisah pengasas UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar yang keluar dari UMNO setelah cadangannya untuk membuka pintu pada kaum lain menyertai UMNO ditolak. Justeru itu beliau merajuk dan menubuhkan Parti Negara bagi meneruskan impiannya menjadikan partinya berbilang kaum.
Namun Parti Negara pimpinannya kalah teruk dalam pilihan raya. Dia menghembuskan nafasnya terakhir bersama impiannya yang tidak tercapai untuk mempunyai sebuah parti pelbagai kaum.
Tunku Abdul Rahman dan Hussein pula masih hidup ketika UMNO diharamkan oleh mahkamah. Setelah UMNO diharamkan pada 1988, Ku Li dengan restu Tunku telah cuba mendaftar parti baharu – UMNO Malaysia. Tetapi permohonan untuk menubuhkan parti baharu itu ditolak pendaftar pertubuhan. Sebaliknya, UMNO (Baru) pimpinan Dr. Mahathir diterima dan diluluskan.
Ekoran itu Tunku, Hussein Onn dan Ku Li tidak menyertai UMNO (Baru) sebaliknya mereka menubuhkan parti Semangat 46 dengan Ku Li sebagai presidennya.
Dalam konteks ini, Tunku dan Ku Li begitu aktif dalam menggerakkan Semangat 46, termasuk Tunku yang terlibat secara langsung dalam ceramah-ceramah politik anjuran parti 46. Hussein pula tidak begitu jelas penglibatannya, namun beliau tidak menjadi ahli UMNO (Baru) sehingga akhir hayatnya. Hanya yang jelas beliau memberi sokongan pada Tunku dan Ku Li dalam menyaingi parti UMNO (Baru) pimpinan Dr. Mahathir.
Tunku dan Tun Hussein Onn terus memberi sokongan pada Ku Li hingga ke akhir hayatnya. Bagaimanapun, Dr. Mahathir telah mengarahkan upacara pengebumian kedua-dua bekas tokoh UMNO dan Perdana Menteri itu dilakukan secara penghormatan negara. Dr. Mahathir tetap mengiktiraf segala jasa dan sumbangan mereka sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Tunku dan Hussein terlebih dahulu kembali kerahmatullah sebelum sempat menyertai UMNO semula.
Selain itu, Ghazali juga adalah tokoh UMNO yang pernah mewarnai dunia kepemimpinan parti itu. Bekas Menteri Luar yang meninggal dunia hujung Januari 2010 dipercayai pernah menjadi pilihan utama Hussein bagi menjadi calon Timbalan Perdana Menterinya apabila Almarhum itu menjadi Perdana Menteri.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu pada suatu ketika dianggap cerdik dan pintar dalam pelbagai bidang. Sebagai theoretician ataupun pengantara isu antarabangsa, King Ghaz sukar ditandingi (bakal calon muda diminta Google semak sejarah hebat arwah).
Allahyarham pernah dirizabkan oleh Tun Razak dan Tun Hussein Onn untuk mengisi tempat yang tinggi dalam kerajaan. King Ghaz amat disohorkan untuk jadi Timbalan Perdana Menteri sebelum 1976. Tetapi ‘baris tangannya’ atau tuah badan tiada melambangkan untuk duduki jawatan nombor dua kerajaan itu.
Hakikatnya, tidak perlu ‘lintang-pukang’ sangat mencari kedudukan dalam parti. Tuah tetap mendatang jika seseorang jujur dan kuat bekerja.
Orang Melayu menyebut tuah badan atau luck ini sebagai bulan jatuh ke riba. Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai greatness being entrusted upon. Peluang begini kadang-kala tidak ada dalam parti politik tertentu – akibat kemelaratan budaya memilih pemimpin yang berunsur ‘ufti’.
Begitulah UMNO mewarnai politik tanah air.
Kepada semua yang bakal bertanding pemilihan parti, persaingan merebut jawatan tertentu, apa lagi Presiden, peluang anda ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam.










