KUALA LUMPUR – Parti politik, UMNO akan menjadikan perjuangan menaikkan taraf hidup bumiputera dan Islam sebagai prioriti utama.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh UMNO hari ini, walaupun 72 tahun satu tempoh yang panjang dan setiap pemimpin datang memperkenalkan perubahan, ia kekal menjadi institusi sosial Melayu Bumiputera tanpa mengetepikan bangsa atau agama lain.
“Bukan sahaja melalui pendekatan tetapi agenda tanpa mengetepikan falsafah dan konsep awal penubuhan berlandaskan penyatuan beberapa pertubuhan Melayu ketika itu. UMNO harus terus relevan dan ia bergantung kepada agenda yang berakar umbi dan isu rakyat.
“Jangan dimomokkan UMNO itu Melayu. Ini kerana UMNO adalah perkongsian kuasa serta kebersamaaan nilai hidup dengan dengan penduduk bumiputera di Sabah dam Sarawak sekali gus memberikan keutamaan kebangsaan dan negara majmuk,” kata kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, tempias Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, memberi tamparan kuat kerana ada pihak tertentu cuba melaga-lagakan sentimen, khususnya dengan kenyataan UMNO sudah tidak relevan lagi di Sabah.
“UMNO bertegas dalam apa jua keadaan dan cabaran, di mana sahaja UMNO berada di seluruh pelusuk negara ini, tetap akan memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat jelata.
“Kita sudah bermuhasabah, redha dan bertabah. Pucuk pimpinan tertinggi Pusat UMNO tidak akan meminggirkan mana-mana ahli parti dan keterbukaan dalam pemilihan barisan baharu UMNO kali ini tanpa mengenepikan Islam, Melayu, bumiputera serta kebangsaan,” katanya. – K! ONLINE











