SHAH ALAM – Pemilihan pucuk pimpinan UMNO 2018 pada 30 Jun ini adalah medan terbaik untuk para perwakilan menyingkirkan petualang dalam parti yang selama ini banyak membawa kerosakan.
Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, terlalu ramai petualang dalam UMNO yang selama ini menumpang sama ada untuk kepentingan diri sendiri, sanak saudara dan kawan-kawan.
Ahli Parlimen Gua Musang itu yang mesra dipanggil Ku Li bagaimanapun enggan mendedahkan siapa petualang dalam parti tersebut.
“Saya yakin perwakilan tahu siapa (petualang) yang dimaksudkan itu. Bilangannya terlalu ramai dan jika sebut panjang senarainya, jadi biarlah perwakilan menentukannya.
“Kita kena lakukan pembersihan dalaman kerana disebabkan petualang inilah rakyat marah dan benci terhadap UMNO. Tiada guna diadakan pemilihan jika akhirnya barisan kepimpinan yang dipilih tiga atau enam tahun lalu dipilih sekali lagi,” katanya yang pernah memimpin parti pembangkang Semangat 46 sebelum menyertai UMNO pada tahun 1996.










