MUKADIMAH: APABILA pendaftaran pencalonan untuk pemilihan UMNO bagi semua jawatan bermula 1 Jun lalu, bekas Menteri Kewangan II, DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI antara pemimpin terawal menyuarakan hasrat serta menyerahkan borang bagi bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan UMNO, 30 Jun ini.
Kata Johari kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan jurugambar, SURIYA BONMA, hanya satu perkara utama yang mendorongnya menawarkan diri untuk bertanding iaitu bagi membantu memulihkan UMNO supaya dapat bangkit semula daripada kekalahan.
Pengalaman sebagai seorang ahli korporat yang memulihkan prestasi banyak syarikat sebelum ini akan beliau gunakan sebaik mungkin yang diharapkan dapat dinilai oleh ahli-ahli UMNO dalam pemilihan parti kelak yang dianggapnya sebagai sebuah pertandingan adik beradik.
UTUSAN: Apakah faktor utama mendorong Datuk Seri bertanding kali ini?
JOHARI: Sebenarnya yang mendorong saya untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO adalah kerana ingin membantu UMNO bersama rakan-rakan yang lain untuk bangkit semula daripada kekalahan. Proses untuk bangkit semula ini bukan suatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu kita kaji dan lihat serta apakah formula yang terbaik untuk kita meneliti akan kebangkitan ini.
Yang kedua, saya akan gunakan pengalaman yang ada dalam dunia korporat selama 25 tahun termasuk pengalaman membaik pulih dan berdepan dengan syarikat-syarikat yang telah rugi serta sudah hilang keyakinan pelabur. Jadi, menerusi pengalaman tersebut, dengan harapan kemungkinan ada perkara-perkara yang boleh kita berkongsi bersama pucuk kepemimpinan dengan mengambil kira politik semasa yang berlaku pada hari ini.
Yang ketiga adalah untuk saya bersama-sama menyertai bagi memastikan bahawa pentadbiran UMNO di peringkat tertinggi akan lebih cekap, efisien dan boleh dijalankan dalam sebuah organisasi yang tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.
Bagaimana maklum balas dan sokongan daripada ahli UMNO di peringkat akar umbi terhadap hasrat Datuk Seri ini?
Alhamdulillah, setakat ini maklum balas yang saya dapat sangat baik dan positif. Tapi apa yang paling penting adalah setiap calon bagi Naib Presiden masing-masing mempunyai kelebihan dan kepakaran masing-masing. Saya mungkin mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi, jadi pengalaman ini kalau dapat digemblengkan bersama rakan-rakan saya yang lain, sudah tentu menjadi satu aset dalam perjuangan UMNO.
Bagaimana kita perlu kekal relevan bergantung kepada siapa yang kita pilih untuk meletakkan satu kumpulan pemimpin di atas yang dapat menggembleng tenaga untuk menyelesaikan isu-isu persepsi yang berlaku terhadap UMNO ini iaitu UMNO merupakan sebuah parti yang rasuah, mengamalkan politik wang, suka fitnah-memfitnah dan menyebut soal perkauman, ego dan sombong serta tidak inklusif.
Dalam isu memperjuangkan hak-hak Melayu, kita kena memberikan kefahaman kepada orang lain mengenainya, kenapa UMNO memperjuangkannya kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan. Kalau hak-hak orang Melayu tidak termaktub dalam Perlembagaan, kalau kita perjuangkan mungkin kita tidak relevan, tetapi Perlembagaan itu menyatakan bahawa ada hak-hak orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalau kita tidak suka hak-hak itu ada, maka kita kena keluarkan dalam Perlembagaan. Tetapi selagi ada dalam Perlembagaan, maka adalah tanggungjawab kita sebagai orang Melayu untuk mempertahankan hak-hak tersebut.
Barisan baharu yang akan memimpin UMNO kelak bakal berdepan tanggungjawab besar iaitu bukan sahaja untuk memulihkan kembali parti tetapi juga buat pertama kalinya berperanan sebagai sebuah parti pembangkang?
Bagaimana untuk kita melengkapkan peranan sebagai pembangkang yang lebih berkesan, konstruktif dan boleh memanfaatkan sistem pentadbiran kerajaan daripada segi kritikan-kritikan yang membina, bukan kritikan yang hanya untuk menyakitkan hati rakyat jelata. Sebab itu hari ini, kalau kita lihat golongan muda, mereka telah lantang menyatakan bahawa mereka tidak suka rasuah, politik wang, fitnah dan kenyataan-kenyataan perkauman yang dilontarkan oleh mana-mana pemimpin UMNO kepada masyarakat umum. Mereka juga tidak suka pemimpin-pemimpin yang bersikap ego dan sombong. Mereka mahu pemimpin-pemimpin ini lebih inklusif dan bukan elit dalam melihat UMNO ini.
Selepas kekalahan dalam PRU-14, banyak pihak yang mendesak supaya UMNO diberikan nafas baharu. Adakah calon yang bertanding kali ini layak untuk membawa nafas baharu tersebut?
Jika kita melihat setiap mereka yang ingin bertanding ini, ada orang muda seperti Khairy Jamaluddin, kemudian ada calon senior serta orang lama dalam UMNO, malah mereka ini juga sebahagiannya mempunyai pengalaman mentadbir sebagai menteri beberapa penggal dan juga pernah menjadi Menteri Besar. Sudah tentu pengalaman-pengalaman ini sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan, juga dalam dunia korporat seperti saya selama 25 tahun yang terdedah dengan soal-soal ekonomi pelaburan luar negara, agensi penarafan, pengalaman dalam menyusun dasar fiskal serta dasar monetari.
Ini semua amat penting untuk kita gemblengkan pengetahuan ini di peringkat tertinggi UMNO supaya dapat kita lahirkan satu pasukan yang memberi keyakinan kepada rakyat, bukan hanya kepada orang Melayu tetapi masyarakat kaum Cina, India dan juga etnik di Sabah dan Sarawak supaya mereka yakin bahawa kepemimpinan UMNO ini merupakan kepemimpinan yang mempunyai pembaharuan, ada satu harapan dan keyakinan terhadap mereka yang bakal dipilih ini untuk menerajui pentadbiran di peringkat tertinggi UMNO.
Daripada 13 parti di bawah BN, kini hanya tinggal empat. Sebagai sebuah parti tunjang BN, UMNO bakal berdepan cabaran yang cukup hebat selepas ini. Apa pandangan Datuk Seri?
Apa yang saya nampak satu saja formula iaitu kita kena tunjuk bahawa UMNO ini masih relevan, telah berubah, telah bangkit dan menunjukkan perbezaan di antara yang dahulu dan sekarang dalam lima tahun akan datang.Bagaimana mahu kita mengubah budaya UMNO ini di peringkat cawangan, kerana mereka tidak lagi boleh mengharapkan orang menyuapkan apa sahaja kewangan yang diperlukan. Kita juga perlu mengubah minda di peringkat UMNO bahagian bagaimana melihat sistem pentadbiran UMNO itu tidak bergantung hanya kepada wang ringgit, bagaimana juga kita melihat pentadbiran UMNO di peringkat tertinggi. Bagaimana boleh kita mentadbir UMNO di seluruh negara yang berpusat di Kuala Lumpur tanpa menggunakan wang yang begitu banyak dari segi membelanjakan urusan-urusan pentadbiran di peringkat pusat.










