KANGAR – Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man menekankan parti itu perlu bebas daripada amalan politik wang sepenuhnya untuk kembali bangkit dan menarik kembali sokongan rakyat.
Azlan yang juga merupakan Menteri Besar Perlis berkata, amalan politik wang untuk kekal berkuasa selain amalan berpuak-puak menyebabkan UMNO tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“UMNO perlu kembali kepada landasan asal iaitu setiap ahlinya termasuk pimpinan perlu berjuang dengan ikhlas bukan kerana wang, pangkat dan jawatan.
“Amalan politik wang dihapuskan secara total dan setiap ahli perlu jujur, ikhlas dan berani demi kepentingan parti, agama dan negara,” katanya ketika ditemui hari ini pada Majlis Perjumpaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan ahli UMNO Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.
Turut hadir calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim. – K! ONLINE









