IPOH 29 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membaca khutbah dan menunaikan solat Jumaat bersama 750 pegawai serta anggota tentera Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Guar Permai di surau kem berkenaan hari ini.
Solat Jumaat diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; Panglima Dua Briged, Datuk Mohd. Nizam Jaafar serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.
Dalam khutbahnya, Mohamad menegaskan umat Islam perlu melakukan pengislahan atau pembaharuan serta membetulkan segala kesilapan lalu dengan kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.
Menurut beliau, ini kerana umat Islam di seluruh dunia kini telah ketinggalan dalam segala bidang akibat berpecah-belah sedangkan sepatutnya orang Islam menerajui dunia.
Beliau berkata, masyarakat Islam harus mengkaji, merendah diri dan meminta ampun kepada Allah SWT dengan apa yang berlaku.
“Apa yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia hari ini harus menjadi pengajaran kepada kita, sama ada pihak yang berkuasa atau tidak berkuasa, renung dan lihat serta sanggup membuat pengislahan atau pembaharuan supaya kita kembali memimpin di atas muka bumi ini.
“Kita kena mengakui kelemahan dan bersama-sama memperbetulkan kesilapan sama ada pimpinan secara hak atau umat Islam yang lain secara umum,” katanya.
Selepas menunaikan solat Jumaat, Mohamad bergambar dan beramah mesra bersama pegawai serta anggota RAMD.










