Kontrak MRO aset pertahanan kepada syarikat asing dihentikan 

Kontrak MRO aset pertahanan kepada syarikat asing dihentikan 

Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Sebanyak 18 syarikat asing yang masih melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan diberi kata dua supaya bekerjasama dengan syarikat tempatan atau membangunkan syarikat tempatan jika mahu terus mendapat kontrak daripada Kementerian Pertahanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak lagi mahu terus bergantung kepada syarikat asing bagi melaksanakan kerja-kerja MRO yang mempunyai keupayaan untuk dilakukan oleh syarikat tempatan.

Beliau berkata, syarikat asing terbabit perlu mencari jalan sama ada menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan atau membangunkan syarikat tempatan bagi memastikan keupayaan industri pertahanan negara terus diperkukuh.

“Jadi, kita sudah letakkan syarat seperti saya telah umumkan dalam Parlimen, bahawa semua kerja-kerja MRO, melainkan yang melibatkan tempoh waranti, kita tak akan berikan lagi kepada syarikat asing.

“Sekarang ini ada 18 syarikat asing yang masih melaksanakan MRO yang terdiri dan datangnya daripada pelbagai negara yang kita beri penekanan, kita tidak akan sambung.

“Ia kena cari jalan sama ada bekerjasama dengan syarikat tempatan ataupun bangunkan syarikat tempatan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke syarikat High Point Worldwide, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kontrak MRO yang diberikan kepada syarikat asing terbabit mempunyai nilai yang besar, dengan sesetengahnya bernilai antara RM100 juta hingga mencecah RM1 bilion.

Beliau berkata, sudah tiba masanya peluang berkenaan diberikan kepada syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kerja terbabit.

Tambahnya, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pihak luar, selain membangunkan keupayaan tempatan dalam bidang pertahanan.

“Kalau kita tidak lakukan ini, kita banyak rugi. Antaranya, pertama, kita akan terus bergantung kepada negara-negara lain. Hendak beli skru pun beli daripada luar negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia pada masa sama mempunyai banyak universiti teknikal serta graduan berkemahiran tinggi yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.

Jelasnya, pengukuhan industri pertahanan tempatan juga akan mewujudkan pelbagai kesan limpahan, termasuk peluang pekerjaan dan pembangunan kepakaran dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya lagi, pendekatan sama turut diterapkan dalam perolehan pertahanan lain apabila kementerian mahu memastikan syarikat yang menerima kontrak kerajaan memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan ekosistem industri tempatan.

“Dalam perkara-perkara lain, semua projek-projek yang kita beri, memang menekankan untuk beri ruang dan peluang kepada syarikat tempatan tetapi pada masa yang sama, bagi setengah-setengah perolehan, kita hendak lihat 30 peratus komponen tempatan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menutup ruang kepada syarikat asing, sebaliknya memastikan kehadiran mereka turut memberi manfaat kepada pembangunan keupayaan industri pertahanan negara.

Beliau berkata, kerajaan mahu setiap kontrak pertahanan yang diberikan mempunyai nilai tambah kepada negara, termasuk melalui pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan dan peningkatan keupayaan syarikat Malaysia.

Katanya, matlamat akhirnya adalah memastikan Malaysia mempunyai keupayaan sendiri untuk menghasilkan, menyelenggara dan membangunkan aset pertahanan, sekali gus menyokong kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita hendak bantu negara supaya negara mempunyai keupayaan untuk mempunyai aset dan kesiagaan yang baik kerana kita bekerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN