KUALA SELANGOR – Seekor ular sawa batik sepanjang lima meter yang kekenyangan selepas membaham dua ekor ayam peliharaan milik penduduk kampung berjaya ditangkap sekumpulan anggota bomba dan penyelamat di Jalan Pawang Jalil, Batu 20, Jeram dekat sini awal pagi tadi.
Reptilia seberat 70 kilogram itu ditangkap pukul 5.16 pagi ketika sedang berlingkar di bahagian bumbung reban ayam itu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Roslan Asri berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5.06 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati ular terbabit dipercayai baharu membaham dua ekor ayam peliharaan.
“Hasil pemeriksaan menemui ular sawa terbabit dalam keadaan kenyang menyembunyikan diri di bahagian bumbung reban ayam.
“Kami terpaksa mengumpil bumbung zink reban itu sebelum berjaya menangkap ular tersebut menggunakan penjerut ular dalam tempoh kurang 10 minit,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Jelas beliau, ular sawa itu kemudiannya dilepaskan ke habitat semulajadinya yang jauh dari penempatan manusia. – K! ONLINE











