Ukhuwah Aidilfitri Saddiq, Siti, Aznil - Utusan Malaysia

Ukhuwah Aidilfitri Saddiq, Siti, Aznil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATANG dari latar belakang berbeza, malah tidak pernah bermimpi bahawa pada masa kini nama mereka menjadi ikon bagi segenap generasi. Pertemuan perdana antara tiga figura hebat iaitu Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Aznil Nawawi yang diatur eksklusif oleh HabHib Kosmo! sempena Aidilfitri berlangsung dalam suasana meriah. Saling mengagumi kejayaan yang membuah inspirasi kepada kelompok peminat masing-masing, Saddiq, Siti dan Aznil berbicara tentang sambutan Syawal serta bagaimana mampu memperkasa generasi akan datang dengan misi kerja mereka.

Syawal pertama 
 YB Saddiq

SATU fakta yang tidak boleh disangkal, nama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, menjadi bualan paling hangat pada masa kini. Selain menjadi buah mulut kerana rupa paras yang kacak, kebijaksanaan anak muda yang baru berusia 26 tahun ini menjadi aspirasi buat golongan belia untuk menjadi sehebat dirinya.

Kini, selepas sebulan memikul gelaran Yang Berhormat (YB), Saddiq masih dalam fasa menyesuaikan diri sebagai ahli politik.

Menyambut baik pelawaan Kosmo! untuk memotret dirinya bersama Siti dan Aznil selain berbicara tentang Syawal, anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu tahun ini beliau meraikan hari raya bersama rakyat di Muar, Johor.

KOSMO!: Apakah definisi raya buat Saddiq sebelum bergelar ahli politik?

Syed Saddiq: Definisi raya saya berbeza mengikut peringkat usia. Zaman kanak-kanak misalnya merupakan raya yang paling seronok dan bermakna untuk saya. Selain dapat berkumpul bersama keluarga yang datang dari Singapura, Pulau Pinang dan Kedah, hari raya adalah waktu untuk mencari duit dengan beraya di rumah orang, tidak kiralah yang dikenali atau tidak.

Saya juga agak nakal kerana suka bermain mercun tidak kira siang atau malam, namun sekarang ia dilarang sama sekali kerana bahaya. Tiga tahun kebelakangan ini setiap kali tibanya Syawal saya pasti berada di luar negara kerana bekerja sebagai pensyarah sambilan. Memang agak sedih, tetapi demi mencari pendapatan sendiri saya perlu bekerja dan hanya akan pulang ke Malaysia pada raya kedua atau ketiga.

Boleh kongsikan makanan kegemaran anda pada hari raya?

Pada pagi raya ibu akan memasak nasi tomato dan rendang. Kudapan wajib untuk saya ialah kuih tart, almond london dan biskut madu cornfleks. Saya boleh habiskan satu balang tiga kuih ini. Dahulu, menjadi tradisi keluarga ibu akan membuat kuih raya untuk dijual dan dihidangkan pada hari raya. Tidak mahu kuih habis sebelum raya, ibu akan menyorokkan kuih daripada anak-anak. Walaupun dimarahi ibu, saya pasti akan mencari balang kuih pada waktu malam untuk dimakan.

Apakah perbezaan raya selepas menjadi Ahli Parlimen Muar?

Kebiasaannya saya sekeluarga akan melawat sanak saudara. Namun, disebabkan raya tahun ini saya meraikan bersama rakyat selama seminggu di Muar, maka seluruh keluarga pula yang akan datang ke rumah.

Saya juga mengadakan rumah terbuka Syawal dan bekerja seperti biasa kerana perlu menghadiri beberapa acara di Putrajaya dan Muar. Sudah tentu raya saya tidak lagi sama seperti dahulu. Misalnya, penganjuran rumah terbuka bukan hanya untuk kenalan tetapi seluruh rakyat yang saya sendiri tidak tahu berapa ribu orang akan datang.

Bagaimanakah anda menyesuaikan diri dengan kehidupan yang sangat berbeza?

Saya akui rutin kehidupan berubah total. Selain berulang-alik antara Muar dan Kuala Lumpur ibarat Kuala Lumpur ke Shah Alam, Selangor saban minggu, saya juga harus membiasakan diri apabila orang datang mengetuk pintu rumah sehingga pukul 2 ke 3 pagi. Ada yang datang meminta bantuan untuk selesaikan masalah selain ada juga kerana kematian. Diakui, walaupun baru hendak tidur, saya tidak boleh marah kerana sudah menjadi tugas dan tanggungjawab membantu rakyat. Itulah rutin yang tidak akan tamat. Memang penat, tetapi ini jalan yang dipilih, jadi saya harus laluinya dengan lapang dada.

Saya juga harus berterima kasih kepada ibu bapa kerana memahami kerja anak mereka sebagai wakil rakyat. Walaupun masa dengan keluarga semakin berkurangan kerana lebih banyak dihabiskan bersama rakyat, ibu bapa sentiasa bersama saya.

Adakah anda terbeban menjadi ahli politik pada usia muda sedangkan kebanyakan anak muda seusia anda masih menikmati zaman remaja dan meneroka dunia?

Dahulu memang saya tidak sangka akan duduk dalam posisi ini. Memang ada bebanan tetapi hanya dari segi tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan. Sebab itu saya perlu kurangkan masa bermain kerana zaman remaja saya tamat jauh lebih awal daripada orang lain.

Ada perkara perlu dikorbankan terutama masa untuk keluarga dan diri sendiri kerana harus fokus kepada gerak kerja. Saya tidak boleh merungut kerana Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir yang merupakan idola, masih bekerja keras pada usia 93 tahun. Jadi, apa alasan saya yang jauh lebih muda untuk merungut.

Sukar atau tidak untuk terlihat sempurna sepanjang masa pada mata masyarakat walhal anda baru berusia 26 tahun?

Saya faham orang mahu melihat saya sentiasa sempurna dalam membawa imej sebagai wakil rakyat, jadi timbul banyak pantang larang. Uniknya kita semua ada cita rasa tersendiri dan sebagai manusia, kesilapan itu perkara biasa, tetapi bagaimana mengendalikan kesilapan tersebut akan menjadi kayu pengukur keupayaan seseorang.

Saya akan kekal menjadi diri sendiri dan yakin orang lain akan faham khususnya anak muda. Saya menonton perlawanan bola sepak dikritik, melawat kawasan dengan berpakaian kasual juga dikecam. Tidak perlu tipikal dalam menjalankan tugas, tidak kiralah tanpa sut atau baju Melayu, saya masih boleh mendekati rakyat. Dalam masa sama, saya baru berusia 26 tahun dan cuba mencuri waktu untuk menikmati kehidupan seperti orang lain.

Empayar Siti

Nurhaliza

APA lagi yang mahu ditulis dan ditanya tentang Datuk Seri Siti Nurhaliza? Saban tahun sejak 20 tahun lalu, Siti mendepani kawanan media massa dengan tenang dan senyuman yang tidak pernah lekang dibibir. Biar setiap tahun terutama pada Aidilfitri, wanita berusia 39 tahun itu dilontar dengan soalan raya yang sama, masih, Siti menjawabnya tanpa lelah.

Bagaimanapun, tahun ini ada yang berbeza terhadap sambutan Aidilfitri Siti. Kelahiran cahaya mata sulungnya, Siti Aafiyah Khaled pada Mac lalu telah merubah kebanyakan rutin hidupnya, termasuk sambutan Syawal yang dilebihkan buat anak kecil itu. Selain berbicara tentang lebaran, Siti berkongsi aspirasinya terhadap karier dan empayar perniagaannya yang semakin besar.

KOSMO!: Siti telah melalui beberapa fasa berbeza menyambut lebaran. Apakah definisi lebaran bagi anda, kini?

SITI: Hari raya zaman kanak-kanak memang yang paling indah buat saya. Seperti kebanyakan kanak-kanak lain, saya akan pergi beraya sekeliling kampung dan seronok apabila dapat duit raya.

Kemudian, seawal usia remaja, saya sudah bergelar artis dan pada waktu ini lain pula ceritanya. Sangat ramai peminat yang datang beraya di rumah, adakala dari pagi sampai ke tengah malam. Saya masih ingat, bila kaki sudah lenguh berdiri sebab kena bergambar dengan peminat, saya akan berehat sebentar dan urut kaki dahulu. Kemudian, keluar semula menemui para peminat. Memang sukar saya lupakan beraya zaman remaja.

Melalui fasa menyambut lebaran sebagai ibu buat pertama kali pula, tentulah ia suatu yang baharu bagi saya. Saya teruja mahu menyiapkan Siti Aafiyah dan beraya dengan anak buat pertama kali. Berbanding dahulu, saya kini lebih mengutamakan anak berbanding diri sendiri.

Apakah tradisi wajib semasa musim raya. Hal ini termasuklah dari segi pemilihan tema, giliran balik kampung dan juadah yang disediakan sepanjang Syawal?

Saya dan suami biasanya akan berbincang mengenai destinasi pulang beraya, sama ada di Kuala Lumpur, Kuala Lipis atau pulang ke Kedah. Kami akan luangkan masa untuk membahagikan giliran.

Kalau beraya di rumah ibu saya di Kuala Lipis, menu wajib ialah nasi impit kuah kacang dan jika bersama dengan ibu mertua pula, ketupat palas dengan rendang merupakan juadah yang dihidangkan sebagai makanan ruji hari raya.

Apakah pesanan buat umat Islam yang sedang bergembira menyambut Syawal?

Kepada semua yang pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya, jangan mementingkan diri sendiri kerana semua orang mahu sampai ke destinasi dengan selamat.

Gunakan masa yang ada bersama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan dengan baik, saling kunjung-mengunjung dan bertanya khabar.

Anda menjadi ikon buat semua generasi sejak sekian lama. Bagaimanakah mengekalkan momentum dan tingkah diri dalam banyak hal yang dilakukan?

Sebagai seorang insan, saya berusaha menjadi insan yang lebih baik dari semasa ke semasa. Setiap apa yang dilakukan atau tindakan yang kita buat, harus berfikir terlebih dahulu dan berusaha untuk bermanfaat kepada orang lain. Sentiasa positif, boleh menerima dan memberi apa jua yang baik.

DATANG dari latar belakang berbeza, malah tidak pernah bermimpi bahawa pada masa kini nama mereka menjadi ikon bagi segenap generasi. Pertemuan perdana antara tiga figura hebat iaitu Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Aznil Nawawi yang diatur eksklusif oleh HabHib Kosmo! sempena Aidilfitri berlangsung dalam suasana meriah. Saling mengagumi kejayaan yang membuah inspirasi kepada kelompok peminat masing-masing, Saddiq, Siti dan Aznil berbicara tentang sambutan Syawal serta bagaimana mampu memperkasa generasi akan datang dengan misi kerja mereka.

Bersambung di muka 40

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN