KUALA LUMPUR 3 Jun – UEM Edgenta Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Opus International (M) Berhad memperoleh kontrak bernilai RM60.7 juta dari Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP).
![]() |
|
AZMIR MERICAN
|
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican berkata, kontrak itu membolehkan syarikat berperanan sebagai perunding utama pengoptimuman reka bentuk turapan jalan bagi Lebuh Raya Pan Borneo selama empat tahun.
Katanya, penglibatan Opus dalam projek tersebut mencerminkan kepimpinan mereka dalam sektor penyenggaraan lebuh raya dan jalan.
“Keupayaan UEM Edgenta untuk mengoptimumkan kos pemilik aset melalui kemampuan pengoptimuman dan penilaian reka bentuk turapan jalan adalah bukti kepada kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan di Pusat Penyelidikan Turapan Jalan UEM Edgenta,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Peranan UEM Edgenta sebagai perunding utama kepada BHP, rakan kongsi pelaksanaan proje melibatkan pembekalan sokongan strategik dan teknikal.
Bagaimanapun, ia tidak terhad kepada kajian semula reka bentuk dan pengoptimuman turapan jalan bagi projek itu yang termasuk kajian pilihan campuran asfalt baharu.
Pengoptimuman reka bentuk itu melibatkan penggunaan teknologi canggih dan prinsip pengurusan aset inovatif oleh UEM Edgenta akan meningkatkan hayat ekonomi lebuh raya tersebut sekali gus mengurangkan kos penyenggaraan pemilik aset dari semasa ke semasa.
Projek Lebuh raya Pan Borneo melibatkan laluan sepanjang 2,000 kilometer dari Telok Melano yang terletak di barat daya Sarawak hingga ke Serudong, Sabah merentasi Brunei.










