Tuntutan palsu, SPRM reman kontraktor, tahan pegawai kerajaan - Utusan Malaysia

Tuntutan palsu, SPRM reman kontraktor, tahan pegawai kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang kontraktor semalam kerana membuat tuntutan palsu kira-kira RM18,000 terhadap Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut sumber, suspek yang berusia 58 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Sungai Petani bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu terhadap kerja-kerja penanaman semula getah.

“Lelaki tersebut ditahan selepas disyaki membuat tuntutan palsu kepada RISDA menerusi Skim Bantuan Tanam Semula. Dipercayai lelaki tersebut tidak membuat tanaman semula getah meskipun membuat tuntutan skim berkenaan kepada RISDA.

“Susulan itu, pihak SPRM menahan suspek pada kira-kira pukul 6 petang semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Sumber memberitahu, SPRM telah mendapat perintah daripada Mahkamah Sungai Petani untuk menahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, sumber berkata, SPRM Kedah juga menahan seorang pegawai Jabatan Pertanian di Pahang bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membaik pulih pejabat sewaktu berkhidmat di Baling yang dianggarkan berjumlah RM1,000.

“Suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an yang ditahan di pejabatnya semalam itu bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini