JAKARTA – Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi dua hari ke Indonesia iaitu kunjungan pertama ke negara Asia Tenggara selepas menjadi Perdana Menteri ke-7 pada 10 Mei lalu.
Pesawat yang membawa Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di sini pada pukul 6.05 petang waktu tempatan.
Ketibaan mereka disambut oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
Dalam rangka lawatan itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Jokowi di Istana Presiden di Bogor pagi ini dan disusuli jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Jokowi.
Lawatan itu juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama.










