Tudung Cakenis inspirasi dekorasi dalaman rumah - Utusan Malaysia

Tudung Cakenis inspirasi dekorasi dalaman rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH dua tahun membina nama sebagai jenama tudung, Cakenis tampil memperkenalkan koleksi edisi terhad terbaharu, istimewa bagi menghargai sokongan peminat terhadap label itu baru-baru ini.

Menampilkan seleksi 12 rekaan elegan, Moth Cake merupakan penampilan kedua koleksi edisi terhad Cakenis selepas rangkaian hijab eksklusif pertama, The Lily Cake yang baharu sahaja dilancarkan beberapa bulan lalu.

Edisi kali ini disifatkan cukup istimewa ekoran penampilan julung-julung kalinya varian tudung empat segi daripada jenama Cakenis yang sebelum ini hanya mengeluarkan seleksi selendang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konsep

Tidak hanya itu, rekaan Moth Cake yang diinspirasikan daripada tiga konsep dekorasi dalaman rumah iaitu bohemian, nautika dan moden mewah menjadikannya cukup unik untuk dimiliki.

Pengasas Cakenis yang juga selebriti terkenal, Hanis Zalikha berkata, pihaknya berhasrat mengetengahkan koleksi hijab yang dekat di hati wanita.

“Untuk edisi kali ini, rekaan kami mengambil inspirasi hiasan rumah yang pastinya merupakan perkara yang digemari oleh kebanyakan wanita.

“Daripada situ, motif bunga orkid kupu-kupu yang cukup sinonim sebagai item hiasan termasuk di kediaman saya sendiri dipilih sebagai tunjang rekaan.

“Lakaran bunga kemudian diterjemahkan bersama gabungan corak dan mainan warna segar seperti merah jambu, hijau zamrud, kuning lembut, biru kelasi, kuning gelap dan hijau pudina, sekali gus menghasilkan hijab yang sangat indah serta elegan,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran koleksi itu di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menariknya, setiap rekaan dan pilihan warna adalah hasil lakaran Hanis sendiri, khas untuk para peminat Cakenis.

Dijual pada harga RM180 lengkap dengan kotak bungkusan yang cantik, Moth Cake adalah antara tudung premium yang wajib dimiliki terutamanya bagi pencinta padanan busana polos bersama hijab bercorak indah.

Koleksi itu kini boleh didapati di kesemua stokis Cakenis yang berdaftar serta di seluruh rangkaian hab fesyen popular, Fashion Valet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini