Tuduhan Abu Bakar mengarut - Idris - Utusan Malaysia

Tuduhan Abu Bakar mengarut – Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan tuduhan timbalannya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah sebagai tidak berasas, terlalu beremosi dan mengarut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, tuduhan Abu Bakar yang mendakwa dia sebagai punca kepada kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Melaka sangat dangkal.

Katanya, sehingga kini tiada kajian santifik menentukan siapa bersalah selepas kekalahan parti itu pada PRU lalu.

“Bukan sahaja Melaka, malah negeri-negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Perak, Terengganu dan Kedah turut mengalami kekalahan kecuali Pahang dan Perlis.

“Malah tuduhannya yang mengatakan saya tidak disukai rakyat juga tiada asas kerana saya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang sedangkan dia (Abu Bakar) kalah di DUN Paya Rumput,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Semalam Abu Bakar meminta pimpinan UMNO pusat supaya membatalkan kelayakan Idris daripada bertanding jawatan Ketua Bahagian Tangga Batu selepas satu mesej tersebar melalui aplikasi Whatsapp mendakwa beliau menggunakan ‘pengaruh wang’ untuk meraih sokongan.

Mengulas lanjut, Idris turut menyifatkan tuduhan bahawa dia mahu menjatuhkan Abu Bakar sebagai mengarut.

“Jika saya betul hendak jatuhkan karier politik beliau, saya tidak letak beliau sebagai calon di DUN Paya Rumput dalam PRU-14, tetapi beliau kalah dan mendapat keputusan antara yang paling teruk dalam kalangan ahli UMNO di Melaka,” ujarnya.

Mengenai tuduhan menggunakan ‘pengaruh wang’, Idris berkata, pemberian peruntukan di bahagian dan cawangan telah dilakukannya sejak tahun 2014, bertujuan memastikan aktiviti bersama masyarakat setempat dapat dilakukan dan akhirnya dapat memberi impak kepada UMNO.

Idris turut menjawab tuduhan Abu Bakar yang mengatakan beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak mesra rakyat.

“Siapa sebenarnya yang tidak disukai rakyat, dia kalah dalam PRU-14. Rakyat mula benci dan meluat dengan perangai orang UMNO seperti beliau yang suka menuding jari mengatakan saya tidak mesra rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini