WASHINGTON – Presiden Donald Trump memberitahu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bahawa beliau boleh menghantar 25 juta imigran Mexico dari Amerika Syarikat (AS) ke Jepun dan menyebabkan Abe kalah dalam pilihan raya.
Kenyataan tersebut adalah antara beberapa komen merapu yang diutarakan oleh Trump semasa sidang kemuncak negara Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada minggu lalu, demikian menurut akhbar The Wall Street Journal (WSJ) Jumaat lepas.
Sidang G7 itu berakhir secara kucar-kacir selepas Trump bertindak menolak kenyataan bersama oleh pemimpin-pemimpinnya dan menyelar Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Di sebalik tabir sidang itu, pemimpin-pemimpin G7 lain kecewa dengan kritikan Trump melibatkan pelbagai topik seperti keganasan dan migrasi, beberapa pegawai Eropah yang hadir pada sidang berkenaan dipetik sebagai berkata oleh WSJ.
Beliau menyifatkan penghijrahan imigran sebagai masalah besar untuk Eropah dan berpaling kepada Abe serta berkata: “Shinzo, anda tiada masalah ini tetapi saya boleh menghantar 25 juta imigran Mexico kepada anda dan anda akan tumbang sekejap sahaja.”
Menurut seorang pegawai Kesatuan Eropah, komen celupar Presiden AS itu mewujudkan situasi kurang senang dalam kalangan pemimpin G7 lain.
Sumber sama menambah, apabila menyentuh topik Iran dan keganasan, Trump menyelar Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula.
“Anda perlu tahu tentang ini, Emmanuel kerana semua pengganas berada di Paris,” katanya.
Perselisihan pendapat mengenai perdagangan mendominasi sidang kemuncak tersebut dengan pemimpin-pemimpin G7 sepakat membantah ancaman Trump untuk mengenakan tarif tinggi ke atas import keluli dan aluminium.
Bagaimanapun, Trump menolak laporan mengenai perbezaan pendapat pada sidang kemuncak itu dan seperti biasa menyalahkan media kerana menyebarkan berita palsu. – AFP









