PUTRAJAYA – Provokasi melampau beberapa tonto yang cuba melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya dipatahkan oleh Jabatan Imigresen, sekali gus berjaya menahan 47 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi di sekitar Taman Danau Desa, Kuala Lumpur petang kelmarin.
Pengarah Bahagian Operasi, Siasatan Dan Pendakwaan, Jabatan Imigresen, M. Saravana Kumar berkata, sepanjang operasi tersebut pegawai operasi berdepan cabaran tindakan agresif warga asing yang cubaan melarikan diri termasuk tindakan provokasi melampau oleh warga tempatan yang dipercayai tonto atau majikan yang cuba melindungi warga asing tersebut.
“Operasi ini melibatkan seramai 29 orang pegawai Imigresen dan bermula jam 3 petang. Sebanyak 6 premis telah diperiksa sepanjang operasi ini termasuk medan selera dan pusat urut.
“Hasil pemeriksaan di semua premis, telah menahan seramai 47 orang warga asing yang terdiri daripada 14 warga Indonesia, lapan warga Myanmar, 12 Lelaki warga India, seorang lelaki warga Sri Lanka, enam lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal dan lima wanita warga Thai yang merupakan tukang urut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Saravana berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti melibatkan PATI terbabit ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa termasuk penyalahgunaan pas lawatan sosial.
Selain itu, pihaknya turut mengesan beberapa tempat membasuh kenderaan yang diusahakan oleh warga asing dan warga tempatan di atas tanah milik kerajaan.
“Kegiatan mereka bukan sahaja menceroboh tanah milik pihak berkuasa tempatan tetapi aktiviti di kawasan yang tidak sesuai juga mengundang implikasi terhadap alam sekitar,” jelasnya. – K! ONLINE










