BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan melepaskan semua jawatannya dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) termasuk sebagai presiden.
Turut meletakkan jawatan ialah Naib Presiden PBNS, Datuk Ab. Ghani Hassan dan bendahari persatuan yang juga pengurus pasukan Liga Super, Datuk Mohamad Haslah Mohd. Amin.
Timbalan Presiden PBNS, Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata, jawatankuasa eksekutif persatuan yang bermesyuarat semalam sebulat suara menerima peletakan jawatan terbabit.
“PBNS mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan mereka sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan.
“Kami harap peminat terus memberi sokongan kepada persatuan dan sasaran kita musim ini sekurang-kurangnya mengekalkan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Mat Ali berkata, Jawatankuasa Eksekutif PBNS bersetuju beliau sebagai presiden buat masa ini memandangkan Negeri Sembilan masih beraksi pada saingan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.
Kata beliau, jawatan Bendahari PBNS pula akan dipegang oleh Datuk Johani Hassan, manakala pengurus pasukan akan diumumkan kelak.
Jelasnya, PBNS akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) selepas tamat saingan liga tempatan tahun ini supaya pemilihan dapat diadakan bagi semua jawatan dalam persatuan itu.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak untuk mencadangkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bagi menerajui PBNS.
“Tidak ada halangan untuk sesiapa bertanding mana-mana jawatan dalam PBNS,” katanya.










