TOKYO 12 Jun – Tindakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) memanggil dua hakim kanan wajar sebagai sebahagian daripada proses untuk mengumpulkan tentang negara.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika CEP tidak dibenarkan bercakap atau mendapatkan maklumat adalah lebih baik dibubarkan.
“Mereka berhak untuk bercakap dengan banyak orang, yang pada hari ini nampak baik kerana mereka belum didakwa, tetapi mereka boleh memberikan maklumat yang akan membolehkan kita ambil tindakan ke atas banyak orang,” katanya.
Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin memanggil dua hakim kanan iaitu Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan meminta mereka meletakkan jawatan.
Tindakan Daim itu telah dikritik kerana dikatakan melampau batas dan cuba mencampuri urusan kehakiman.
CEP ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) untuk memberi nasihat kepada kerajaan Pakatan Harapan mengenai langkah-langkah perlu untuk menangani masalah ekonomi dan pentadbiran.
Dr. Mahathir berkata, anggota CEP memberi gambaran adalah lebih elok jika kedua-dua hakim itu meletakkan jawatan kerana jika tidak kerajaan mungkin akan mengambil tindakan menyingkirkan mereka.
“Ini kerana kita percaya penyambungan kontrak mereka adalah tidak betul. Majlis Peguam dan peguam-peguam kanan merasakan penyambungan itu tidak wajar. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kita telah memberikan hakim berkhidmat hingga ke umur 65 tahun, tetapi dengan menyambung lagi kontrak mereka bermakna menafikan peluang hakim lain untuk naik pangkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











