SPARTAK 28 Jun – Kecederaan misteri yang dialami bek kiri Brazil, Marcelo ketika pasukannya menewaskan Serbia 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan E pagi tadi berpunca daripada tilam.
Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar percaya, tilam di hotel penginapan pasukan bertanggungjawab apabila bintang Real Madrid itu terpaksa dikeluarkan hanya sembilan minit selepas perlawanan bermula.
Penonton di Stadium Spartak tidak gembira apabila Marcelo diganti dengan Filipe Luis ketika saingan belum pun ‘panas’ kerana mereka tidak nampak pemain berusia 30 tahun itu mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun Lasmar menegaskan, Marcelo sudah berdepan kesukaran sejak awal permainan, tetapi dia sukar untuk menyatakan jenis kecederaan yang dialaminya.
“Masih sukar untuk menjelaskan mengenai masalah sebenar yang dialami.
“Apa yang boleh saya katakan, dia menunjukkan reaksi baik terhadap rawatan fisioterapi yang kami bawa ke stadium tetapi perlu menunggu 24 jam lagi untuk mendapatkan keputusan yang tepat.
“Ia (kecederaan Marcelo) berpunca daripada tilam di hotel penginapan kami di Moscow,” kata Lasmar. – AGENSI











