SEBERANG PERAI – Tiga sahabat diberkas selepas polis menemui sejumlah dadah di dalam kediaman yang dihuni mereka di Kampung Baru, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) di sini malam semalam.
Kesemua lelaki yang berusia antara 28 hingga 33 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dalam Ops Tapis yang dijalankan kira-kira pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemeriksaan di atas lantai bilik kedua rumah berkenaan telah menemui 14 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 20 gram, sepeket ganja dan lima keratan penyedut minuman yang mengandungi dadah jenis syabu.
“Siasatan lanjut polis mendapati dadah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri dan nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM545.
“Hasil saringan ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek terbabit mendapati mereka positif morfin, methamphetamine dan tetra hydrocannabinol (THC),” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Noorzainy, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya, Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) 2 akta sama. – K! ONLINE











