MUAR – Tiga maut manakala 25 penumpang cedera serta pemandu kedua terselamat selepas bas ekspres dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Kilometer 142.5 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Pagoh di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, mangsa yang maut adalah pemandu bas, Shuaib K.K Mohammed Unny, 50, dan dua orang penumpang wanita yang masih belum diketahui identiti.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Marzuki Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan dua jentera bersama 19 anggota.
“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pihak kita terus melakukan operasi menyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Tiga maut iaitu seorang pemandu bas, dua wanita, manakala 25 penumpang yang lain cedera dan pemandu kedua bas ekspress, pemandu lori treler serta lori tangki terselamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Marzuki berkata, mangsa yang meninggal dunia di serahkan kepada polis manakala penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Fatimah di sini untuk rawatan. K! ONLINE










