KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menempelak tindakan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Tengku Razaleigh yang enggan memberi komen secara langsung mengenai kunjungan Ahmad Zahid itu bagaimanapun berkata, UMNO dilihat lemah jika pemimpinnya meminta nasihat daripada parti lawan.
“Saya sendiri pun tidak akan sama sekali bertemu dengan Dr. Mahathir untuk mendapatkan khidmat nasihat. Lagi pun beliau sudah meninggalkan UMNO dan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala saya pula mengetuai parti yang berbeza.
“Jadi anda boleh merumuskan sendiri mengapa perlunya untuk saya pergi berjumpa (jika menjadi Presiden UMNO) dengan beliau,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di sini semalam.










