Tidak akan pinggirkan calon lain jika berjaya jadi Presiden - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Tidak akan pinggirkan calon lain jika berjaya jadi Presiden – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jun – Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjanji beliau tidak akan meminggirkan dua lagi calon jawatan tersebut dan jika dipilih menjawat jawatan berkenaan oleh para perwakilan.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana pengalaman serta idea Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin sewajarnya digunakan untuk membangkitkan semula roh UMNO.

“Jika selepas mandat diberikan kepada saya (sebagai Presiden), saya tidak akan ketepikan mana-mana calon Presiden.

“Dua orang lagi (Tengku Razaleigh dan Khairy), idea dan pengalaman mereka harus digunakan untuk bangkitkan semula roh UMNO,” katanya menerusi program 100 hari Malaysia Baharu Astro Awani, hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden berkata, selain itu beliau juga berharap mereka yang terpilih menjadi Timbalan Presiden, Naib Presiden sehingga ke peringkat akar umbi akan bersama-sama dengan beliau untuk menjenamakan semula parti itu.

“Kita perlu bersama menggarap kekuatan minda dan segala tenaga bukan hanya menjenamakan semula UMNO tetapi sebagai sebuah parti yang lebih besar lagi.

“Kita tidak lagi boleh bernostalgia atau bersedih, masa itu telah berlalu,” katanya. – UTUSAN OLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN