KUALA TERENGGANU – Dua pasukan di kelompok tercorot liga, Terengganu Football Club II (TFC II) dan Pulau Pinang terpaksa akur apabila sekadar melakar keputusan seri dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas asakan antara satu sama lain namun kekal terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, gol Harimau Kumbang hadir pada minit ke-51 hasil jaringan Mohd. Raimi Md. Nor.
Tidak mudah berputus asa, TFC II terus melancarkan serangan demi serangan ke gawang Pulau Pinang namun percubaan Md. Hassan Basri Ahmad Ridzuan ditangkap kemas oleh penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah.
Bagaimanapun, gol penyamaan buat TFC II akhirnya muncul pada minit ke-90 menerusi jaringan penalti, Akanni Sunday Wasiu selepas Ugochukwu Ukah menjatuhkan pemain TFC II dalam kotak penalti.
Pulau Pinang dan TFC II masing-masing kekal menghuni kelompok terbawah liga dengan masing-masing mengutip 12 dan 11 mata. – K! ONLINE










