Tetap lantik Tommy - Utusan Malaysia

Tetap lantik Tommy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan kerajaan Pakatan Harapan tetap dengan keputusan untuk mencadangkan peguam kanan, Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dan tidak diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi kemelut itu secepat mungkin mengikut perundangan yang ditetapkan.

‘‘Kita buat keputusan sesuatu mengikut undang-undang dan Perlembagaan kita, Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai penasihat. Kita berpegang kepada prinsip itu.

‘‘Usaha sedang dijalankan untuk mengatasi masalah ini (Peguam Negara) dan tidak ada manfaat bagi saya membuat penjelasan sebelum usaha dijalankan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Perdana Menteri berkeras mahu menggantikan Tan Sri Apan­di Ali dengan hanya mencadangkan nama Thomas kepada Sultan Muhammad V.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir juga memberitahu bahawa pemilihan Thomas itu tidak dibuat di bawah tekanan mana-mana pihak memandangkan Thomas pernah berkhidmat sebagai peguam kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini.

“Lim Guan Eng duduk dalam kerajaan dan menjadi Menteri Kewangan kenapa pula orang ini (Tommy) tidak boleh (jadi Peguam Negara) kalau dia berbaik dengan Guan Eng.

“Dia (Tommy) adalah peguam untuk semua orang dan peguam mengambil kes yang memberikan mereka pendapatan,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga masih mengkaji cadangan untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya Negara daripada Peguam Negara seperti diputuskan dalam Manifesto gabungan itu sebelum ini.

‘‘Tetapi itu belum kita putuskan lagi, ia cadangan sahaja,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN