Setiap kali Ramadan, orang ramai akan singgah di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur atau lokasi pengedaran lain di sekitar Lembah Kelang semata-mata ingin mendapatkan Bubur Lambuk Agong yang terkenal dengan rasanya yang sedap.
Kira-kira 4,000 bekas diedarkan setiap hari namun, tidak semua yang datang berpeluang membawa pulang juadah berbuka puasa tersebut. Disebabkan permintaan yang tinggi, bubur lambuk yang diberikan secara percuma kepada orang ramai itu cepat habis sebaik sahaja mula diedarkan selepas solat Asar.
Jadi, jangan hairan kalau datang berulang kali, belum tentu kita berpeluang memperoleh bubur lambuk tersebut. Ada yang datang tiga hari berturut-turut namun, pulang dengan hampa disebabkan habis diedar begitu pantas.
Tidak hairanlah, ada yang sanggup menunggu sebelum bubur lambuk mula diedarkan. Bercakap mengenai juadah berbuka puasa ini, Bubur Lambuk Agong bukan sahaja dikenali di sekitar ibu kota, malah sudah sampai ke negara seberang, Indonesia.
Menurut Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris, pihaknya sering menerima tajaan daripada agensi dan persatuan yang meminta supaya tim Bubur Lambuk Agong dibawa ke negeri lain termasuk ke Medan, Indonesia untuk memberi peluang kepada komuniti di sana merasai keenakan juadah istimewa itu.
“Oleh kerana sering mendengar cerita tentang keenakan Bubur Lambuk Agong, masyarakat dari luar Lembah Kelang turut tertarik untuk merasai sendiri bubur itu.
“Permintaan yang tinggi telah menarik minat pelbagai agensi dan persatuan untuk menaja bubur lambuk. Untuk itu, kami akan membawa tukang masak dan pekerja ke luar Kuala Lumpur. Setakat ini, tim yang mengendalikan Bubur Lambuk Agong telah di bawa ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Indonesia.
“Tim kami pernah dibawa ke Medan, Indonesia tiga tahun lalu bagi menyediakan bubur lambuk kepada penduduk di sana,” katanya.










