KUALA LUMPUR 10 Jun – Seorang penyelia pembersihan terkejut apabila menemukan bayi lelaki yang masih bertali pusat dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, bayi seberat 2.6 kilogram ditemukan kira-kira pukul 9.30 malam ketika wanita tersebut ingin melakukan kerja membersih.
“Bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu ditemukan dibungkus dengan kain batik.
“Ketika ditemukan, bayi tersebut dalam keadaan lemah dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Ali, hasil pemeriksaan mendapati bayi tersebut cukup sifat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemukan.
Bagaimanapun, katanya, bangsa bayi tersebut tidak dapat disahkan namun polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,” katanya.










