KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, pemain perseorangan wanita No.1 dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying mudah melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas menewaskan wakil negara, Soniia Cheah 21-10, 21-9 sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu, Soniia gagal memberikan tentangan sengit kepada Tzu Ying, sekali gus terpaksa melupakan kejohanan tersebut lebih awal.
Soniia yang juga pemain No.1 negara mengakui, lawannya itu menampilkan aksi lebih baik pada hari ini selain kurang melakukan kesilapan serta bijak mengawal keseluruhan gelanggang.
“Saya akui dia (Tzu Ying) menampilkan aksi lebih baik berbanding saya pada hari ini. Dia berjaya memperagakan permainan lebih pantas serta tidak melakukan banyak kesilapan.
“Selain itu, saya juga kecewa dengan corak permainan yang saya tampilkan pada perlawanan tersebut. Tzu Ying sememangnya berada dalam kelas berbeza,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Tzu Ying gembira untuk melangkah ke pusingan kedua, namun
mengakui kemenangan mudah yang dicapai hari ini disebabkan masih belum bertemu lawan sukar.
“Sebenarnya perlawanan hari ini adalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Bagaimanapun, kemenangan hari ini adalah disebabkan saya masih belum bertemu lawan yang sukar,” ujarnya.
Sebagai rekod, pemain Taiwan itu sudah mengumpul empat kejuaraan musim ini menerusi kejohanan Malaysia Masters, Seluruh England, Indonesia Masters serta Kejohanan Asia. – K! ONLINE











