KUALA LUMPUR 28 Jun – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah akan berusaha menarik balik pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
![]() |
|
TENGKU RAZALEIGH
|
Beliau berkata, langkah itu supaya dana di dalam akaun tersebut boleh digunakan oleh parti secepat mungkin.
Katanya, pembekuan itu telah dilakukan berlandaskan undang-undang tetapi parti akan melihat kepada langkah tertentu untuk mendapatkan semula dana tersebut.
“SPRM telah mengambil langkah mengikut undang-undang. Mereka boleh melakukannya selagi berlandaskan kepada perundangan.
“Setiap tindakan ada reaksinya. Kami akan mencari jalan untuk mendapatkan semula dana yang menjadi milik parti supaya boleh digunakan untuk parti,” katanya seperti dipetik daripada portal The Malaysian Insight hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan wakil daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka di sini.
Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu akaun ibu pejabat UMNO Pusat dan Selangor sudah dibekukan oleh SPRM.
Beliau yang juga calon Presiden memberitahu, akaun UMNO Johor juga hampir pasti akan dibekukan SPRM dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE












