Tengku Amir mampu julang Selangor - Utusan Malaysia

Tengku Amir mampu julang Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAPTEN Selangor, Mohd. Amri Yahyah percaya kehadiran Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pucuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mampu memberikan satu pembaharuan kepada skuad Gergasi Merah.

Terdahulu, Datuk Seri Subahan Kamal telah bersedia memberikan laluan kepada Tengku Amir untuk menjadi Presiden FAS selepas berlangsung Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 3 Julai depan.

Subahan menjelaskan, ketika itu Tengku Amir adalah individu paling layak untuk menerajui FAS sebagaimana baginda adalah peminat No. 1 skuad Gergasi Merah.

Mengulas lanjut, Amri memberitahu, barisan pemain Selangor hanya memberikan tumpuan kepada persembahan di atas padang berbanding memikirkan senario yang berlaku kepada pucuk kepimpinan tertinggi FAS.

“Saya sebagai pemain tidak boleh komen banyak sebab perkara ini bergantung kepada pihak pengurusan dan mereka yang membuat keputusan.

“Kami pemain hanya bermain di atas padang dan bekerja sebagai pemain bola sepak. Kami menye­rahkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

“Bagi saya ia adalah satu semangat baharu untuk Se­langor dan mungkin ada pembaharuan daripada baginda tetapi saya berharap pemain-pemain dapat memberikan komitmen lebih baik di atas padang,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan menentang Kelantan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan peralihan kuasa Presiden FAS yang menyaksikan calon pilihan, Tengku Amir bakal berkuat kuasa sebaik berlangsung EGM bulan depan.

Menurut Subahan, selepas mempengerusikan Mesyua­rat Exco FAS di Wisma FAS Kelana Jaya kelmarin, EGM menjadi prosedur biasa bagi memilih Presiden FAS baharu memandangkan beliau secara rasmi telah membuat pengumuman untuk melepaskan jawatan tersebut.

Antara faktor Subahan melepaskan jawatan Presiden FAS adalah kekangan daripada banyak jawatan yang disandang­nya termasuk Pre­siden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Timbalan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN