PUTRAJAYA 1 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi tempoh sebulan kepada peniaga untuk menyelaraskan tanda harga barang ekoran cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, Datuk Mohd. Roslan Mahyuddin berkata, pelarasan itu sejajar dengan pengumuman Kementerian Kewangan yang menetapkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar enam peratus sebelum ini kepada kadar sifar bermula hari ini.
Menurutnya, fokus KPDNKK adalah terhadap isu harga yang tertakluk di bawah bidang kuasa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk tujuan penguatkuasaan dari segi antipencatutan dengan objektif utama menangani perbuatan mencatut semasa perubahan kadar GST dan pada situasi lain.
“Bagi menangani aktiviti pencatutan, manipulasi harga, kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutama di peringkat peruncitan, KPDNKK melaksanakan gerak gempur Ops Catut 4.0 bermula 24 Mei lalu hingga 30 Jun ini ke atas sektor peruncitan di seluruh negara.
“Dalam Ops Catut 4.0 yang dimulakan pada 24 Mei lalu, sebanyak 7,542 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan sejumlah 235,374 barang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di pasar raya AEON Big Alamanda di sini, hari ini.
Katanya, pelaksanaan Ops Catut 4.0 dijalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat peruncitan dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidakpatuhan undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNKK.
Katanya, ini termasuk perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan penandaaan harga di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993).
“Ini termasuk memberi petunjuk atau gambaran yang mengelirukan mengenai harga (Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta pengeluaran resit atau invois belian (Seksyen 140 Akta Perlindungan Pengguna 1999).
“Peniaga yang dikesan menaikkan harga akan diberikan notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 mengenai punca kenaikan harga yang tidak munasabah di pasaran.
“Kegagalan peniaga mematuhi arahan dalam notis untuk mengemukakan justifikasi, penjelasan, maklumat atau dokumen tertentu mengikut tempoh masa dan cara yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan kuasa beli pengguna akan me ningkat berdasarkan kadar sifar GST yang diambil kerajaan namun memaklumkan perkara tersebut boleh dibuktikan oleh peniaga.










