BAHANG Piala Dunia Rusia 2018 kian dirasai apabila sepak mula aksi pertama kurang 4 hari lagi dan tumpuan peminat seluruh dunia termasuk Malaysia pasti ke arah juara bertahan, Jerman yang membariskan ramai pemain-pemain ternama kelab Eropah.
![]() |
|
|
Jerman yang dibimbing Joachim Low (gambar kecil) sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran juara Piala Dunia yang diraih di Brazil empat tahun lalu menjelang kejohanan sama yang membuka tirai pada 14 Jun ini.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi mengenai pasukan Jerman. Saya tidak pasti apa yang berlaku kepada generasi emas Jerman ini pada perlawanan Piala Dunia, namun saya dapat memberi jaminan bahawa semua pemain sangat bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
“Jerman masih kekal menggunakan falsafah sama walaupun terdapat beberapa perubahan pemain. Bagaimanapun, impian dan kekuatan Jerman masih seimbang sama seperti yang kami bawa di Brazil empat tahun lalu,” katanya.
Pada edisi empat tahun lalu, skuad yang diberi jolokan Die Mannschaft itu muncul juara setelah menewaskan Argentina 1-0 menerusi jaringan Mario Gotze.
Jerman dilihat mempunyai laluan yang agak sukar untuk mara ke peringkat seterusnya ketika mereka menghuni Kumpulan F di mana skuad yang berada di ranking pertama dunia tersebut akan berentap bersama Sweden, Mexico dan Korea Selatan.
Pada masa sama, Low tetap menaruh harapan yang tinggi buat beberapa tonggaknya termasuk Neuer yang memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan biarpun dia terpaksa berehat hampir sepanjang musim ini ekoran kecederaan patah tulang metatarsal, namun telah kembali menjalani latihan dan berdepan perlawanan persahabatan bersama pasukan.
“Saya dan Neuer tahu tanggungjawab masing-masing kepada pasukan dan kami memberikan masa kepadanya untuk kembali pulih seperti sedia kala dan berharap dia mampu memberikan yang terbaik buat pasukan,” ujarnya.
Perkembangan itu menyaksikan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen terpaksa berada di belakang Neuer selaku penjaga gol kedua biarpun dia berjaya mempamerkan aksi menakjubkan membantu The Catalans muncul juara La Liga dan Piala Raja Sepanyol musim ini.
Low perlu membuat pilihan terbaik untuk pemain yang mampu menjaga gawang Jerman sama ada memilih Neuer yang dianggap sebagai ‘anak emasnya’ atau ter Stegen yang sedang berada di puncak prestasi ketika ini.












